Friday, February 22, 2019

SINDIKET PERNIKAHAN PALSU BERMAHARAJALELA.

SINDIKET PERNIKAHAN PALSU BERMAHARAJALELA.

Sepanjang penglibatan kami di dalam bidang pengurusan nikah di Selatan Thailand, kami telah juga menemui begitu ramai pasangan yang telah terpedaya dengan sindiket pernikahan palsu yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata, tanpa memikirkan soal halal haram apatah lagi balasan Allah di akhirat kelak.  Dengan rahmat Allah, kami juga telah berjaya menyelamatkan ramai pasangan dari tertipu dan juga membantu pasangan yang telah pun tertipu untuk bernikah semula secara halal dan memenuhi hukum syarak.  Namun begitu, apa yang menyedihkan, walaupun telah banyak berita di media perdana tentang sindiket ini ditumpaskan oleh pihak berkuasa, masih ramai lagi yang terus diperdayakan.  Malahan ada juga pasangan yang telas jelas tertipu masih berdegil untuk tidak mahu memperbetulkan keadaan dengan bernikah semula dan meneruskan kehidupan mereka dalam keadaan bermaksiat sepanjang masa.

Persoalan utama dari sini ialah apakah yang menyebabkan keadaan ini berlaku? Siapakah yang patut dipersalahkan? Adakah ini salah pihak berkuasa? Salah ibu mengandung? Salah ahli sindiket itu? Salah keadaan ekonomi dunia? Ataupun salah pakcik yang tinggal di hujung kampung?  JAWAPAN yang tepat ialah salah pasangan itu sendiri kerana KURANGNYA pengetahuan tentang hukum pernikahan, peraturan nikah dan ilmu yang berkaitan, di mana mereka tidak dapat membezakan sindiket palsu dan khidmat pernikahan yang tulen.

Atas dasar tanggungjawab dan harapan yang tinggi untuk keredhaan Allah, kami terpanggil untuk menjelaskan secara terperinci yang mungkin tentang perbezaan antara pernikahan sindiket dan khidmat pengurusan nikah yang tulen.  Kami harap dengan sedikit ilmu yang kami kongsi ini, ia akan memberi manafaat kepada anda semua.


Apa itu sindiket nikah palsu?

Sindiket nikah palsu ialah sekumpulan orang yang menjalankan urusan pernikahan yang:
1.       TIDAK MEMENUHI TUNTUTAN SYARAK BERKAITAN RUKUN NIKAH
2.       Menguruskan DOKUMENTASI YANG TIDAK SAH
3.       Salah satu atau kedua-dua di atas

TIDAK MEMENUHI TUNTUTAN SYARAK BERKAITAN RUKUN NIKAH

Pernikahan yang tidak memenuhi syarak ialah apabila salah satu daripada rukun nikah tidak dipenuhi.  Implikasi pernikahan ini ialah pernikahan itu TIDAK SAH dan pasangan yang dinikahkan itu akan hidup dalam keadaan berzina dan anak yang lahir dari pernikahan itu adalah anak zina.  Biasanya rukun nikah yang tidak dipenuhi di dalam kes sindiket pernikahan palsu ialah sama ada tentang WALI ataupun SAKSI atupun kedua-duanya sekali.

Sememangnya kebanyakkan pasangan kahwin lari ini bernikah dengan menggunakan Wali Hakim/Raja.  
"WALI HAKIM IALAH WALI/KADHI YANG DILANTIK OLEH PIHAK YANG BERKUASA/RAJA UNTUK MENIKAHKAN PASANGAN SECARA WALI HAKIM/RAJA DI DALAM KAWASAN DI MANA WALI HAKIM/RAJA ITU DITAULIAHKAN."  
Contohnya, Wali Hakim yang ditauliahkan di Songkhla hanya boleh menikahkan pasangan di dalam wilayah Songkhla SAHAJA.  Jika beliau menikahkan pasangan di wilayah lain seperti Yala, Narathiwat ataupun menyeberang ke Malaysia, maka beliau hilang kuasa untuk menjadi wali hakim dan pernikahan di luar kawasan tauliah beliau (secara wali hakim) adalah TIDAK SAH.  DITEGASKAN di sini bahawa: 
PERATURAN INI ADALAH TUNTUTAN SYARAK DAN BUKANNYA UNDANG-UNDANG YANG DIGUBAL OLEH KERAJAAN.

"SAKSI PERNIKAHAN PULA HENDAKLAH ORANG YANG BERAGAMA ISLAM DAN ADIL SERTA TIDAK FASIK."   
Ahli sindiket pernikahan palsu pula adalah mereka yang menipu untuk mendapatkan keuntungan.  Secara automatiknya mereka tergolong di dalam golongan yang penipu dan tidak adil.  Maka kesaksian mereka di atas sesuatu pernikahan itu tidak boleh digunapakai.  Akibatnya pernikahan itu juga TIDAK SAH.

DOKUMENTASI YANG TIDAK SAH

Memandangkan sindiket pernikahan palsu tidak boleh mengeluarkan dokumen yang tulen. Maka dokumen yang diberikan oleh sindiket tersebut adalah tidak sah disisi undang-undang mana-mana negara. 

Berikut adalah antara dokumentasi tidak sah:
a)      Sijil nikah palsu Thailand dicetak sendiri oleh sindiket berserta dengan tandatangan/cop palsu.
b)   Sijil nikah tulen Thailand yang diperolehi secara tidak sah (curi atau beli melalui pegawai yang menerima rasuah)
c)       Surat pengesahan konsulat palsu dan tiada rekod di konsulat.
d)      Sijil nikah Malaysia palsu yang dicetak sendiri.
e)      Sijil nikah Malaysia tulen yang diperolehi secara tidak sah (merasuah pegawai).
f)       Tidak melalui proses pendaftaran yang lengkap iaitu:
a.       Pengesahan konsulat di Thailand
b.      Pendaftaran dan pengesahan di Mahkamah Syariah Malaysia
c.       Pendaftaran dan pengesahan di Jabatan Agama Islam Malaysia.
g)      Sindiket yang menjanjikan “Semua dokumen lengkap dan tulen (berserta kad nikah) boleh disiapkan tanpa melalui prosedur yang ditetapkan”.
Jika pasangan ditawarkan urusan penuh melalui mereka (yakni pasangan tidak perlu ke pejabat agama, mahkamah syariah dan sebagainya) maka JELASLAH mereka ini menjalankan khidmat pernikahan yang tidak sah!

Implikasi dari sini adalah amat besar yakni (bahagian ini memfokuskan bahagian dokumentasi sahaja):
a)      Pernikahan itu boleh jatuh ke dalam status “meragukan” dan boleh dibatalkan oleh mahkamah syariah.
b)      Pernikahan itu tidak boleh didaftarkan di Malaysia.
c)     Apabila ahli sindiket tersebut ditangkap oleh pihak berkuasa Malaysia, maka jika sijil-sijil nikah yang tidak sah tersebut akan dikenalpasti oleh pihak berkuasa.  Status pernikahan mereka boleh “digantung” dan kemudian jika didapati pernikahan tidak sah, maka anak-anak yang lahir juga tidaklah dikira sebagai anak yang sah taraf.
d)      Dewasa ini rekod pernikahan di Jabatan Agama Islam Malaysia adalah “online”.  Banyak pasangan yang telah bernikah melalui sindiket ini gagal mendaftarkan anak mereka kerana rekod online di Jabatan Pendaftaran dan Jabatan Agama Islam TIDAK selari atau TIDAK ADA.  Kadang-kadang proses mengemaskini rekod itu berlaku kemudian (setelah sindiket palsu ditumpaskan). Bayangkan jika perkara itu hanya diketahui sewaktu hendak mendaftarkan anak kedua atau ketiga?  Tidak mustahil rekod pendaftaran anak pertama itu juga akan dikaji semula oleh kerajaan.
e)  Isteri yang teraniaya tidak boleh mendapatkan pembelaan.  Contohnya, jika digantung tidak bertali, maka mereka tidak boleh melaporkan ke mana-mana kadhi di Malaysia mahupun Thailand kerana mereka tidak ada rekod pernikahan yang sah.
f)   Isteri/suami dan anak tidak boleh menuntut pusaka jika kematian pasangan jika tiada rekod/pendaftaran pernikahan yang sah ataupun jika ketulenan rekod pernikahan itu dicabar di mahkamah.
g)    Banyak masalah berkaitan rekod dan ketulenan timbul setelah bertahun-tahun.  Paling menyedihkan apabila pasangan itu telah mempunyai ramai anak.  Dan ketika itu, jika pernikahan mereka didapati tidak sah, bagaimana pula nasib anak-anak itu?  Bagaimana pula dengan maruah mereka?
h)      Ahli sindiket ini tidak layak menjadi saksi pernikahan kerana melakukan penipuan.  Jika mereka menjadi saksi, maka kesaksian seorang penipu tidak boleh diterima.  Pernikahan boleh jadi tidak sah.